Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi pemeriksaan itu dilakukan di kedua-dua premis berkenaan secara berasingan selepas menerima maklumat awam, namun dihalang ketika menjalankan tugas.

“Ketika sepasukan anggota penguat kuasa memeriksa tanda harga dan lesen barang kawalan, kedua-dua peniaga enggan memberi kerjasama malah turut membuat provokasi terhadap anggota penguat kuasa.

“Mereka turut menghamburkan kata-kata kesat dan memaki hamun pegawai kami," katanya ketika ditemui selepas menjalankan pemeriksaan harga barangan di sebuah pasar raya di Nilai, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa.

Ain Arjuna berkata, kedua-dua laporan polis dibuat secara berasingan di Balai Polis Pantai dan Senawang dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Sementara itu, Veerapan menasihati peniaga supaya memberi kerjasama penuh kepada anggota penguat kuasa KPDNHEP sewaktu premis mereka diperiksa atau bakal berhadapan dengan pendakwaan jenayah.

"Kita minta peniaga jangan halang petugas KPDNHEP. Keadaan akan menjadi lebih teruk buat peniaga. Pertama, mereka berhadapan dengan kes kepenggunaan dan kedua mereka akan didakwa kerana kes jenayah," katanya. - UTUSAN ONLINE