Pengarahnya, Dr. Mohamad Omar berkata, Hospital Dungun yang baharu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini manakala Hospital Besut pula sedang giat mempersiapkan pelbagai peralatan dan kemudahan perubatan.

“Apabila dua buah hospital tersebut mencapai taraf hospital pakar kelak, Terengganu akan memiliki empat buah hospital termasuk dua yang sedia ada iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dan Hospital Kemaman,” katanya.

Dr. Mohamad menyatakan perkara itu kepada pemberita dalam Majlis Penyerahan Tugas Pengarah Kesihatan di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Beliau yang bakal bersara mulai esok menyerahkan dokumen tersebut kepada penggantinya, Dr. Mohd.Jusoh dalam upacara ringkas yang turut dihadiri pengarah-pengarah hospital daerah seluruh negeri, para pegawai perubatan dan kakitangan jabatan berkenaan.

Sementara itu, Dr. Mohd. pula berazam untuk terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan taraf kesihatan di negeri ini dengan memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Saya juga berharap mendapat kerjasama serta sokongan daripada seluruh warga jabatan untuk kita teruskan kecemerlangan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE