ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih masing-masing meletakkan jawatan mereka sebagai Timbalan Bendahari DAP negeri dan Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan muktamad itu diakui dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan Kor Ming selaku Pengerusi DAP negeri, namun kedua-duanya menegaskan mereka masih ahli parti dan taat kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Menurut Cheok Keng, kenyataan yang dibuat oleh Kor Ming itu sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa DAP negeri yang turut mengesyorkan lantikan exco.

"Selama ini Yang Berhormat Choo Kiong menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan kedudukannya juga telah diisytiharkan oleh Menteri Besar sebagai tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri walaupun berdepan pertuduhan rogol. Jadi, kedudukannya tidak perlu dibincangkan.

"Kalau ada apa-apa keputusan yang akan dibuat oleh DAP, ia mestilah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa DAP negeri, oleh itu kita merasakan jawatankuasa ini tidak berfungsi dengan baik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Cheok Keng dan Thye Yih mengumumkan perletakan jawatan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan dibuat oleh Kor Ming dalam satu program di Taiping hari ini seperti dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily.

Cheok Keng mendakwa, laporan itu memetik Kor Ming berkata, Pakatan Harapan akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai kedudukan Choo Kiong sebagai exco dan pada masa sesuai serta bergantung kepada keadaan, akan membuat keputusan mengenainya.

Biarpun tidak menyebut sama ada perbincangan lanjut itu akan dibuat di peringkat Pakatan Harapan Perak atau nasional, Cheok Keng menganggap ia merujuk kepada peringkat negeri.

Mengulas lanjut, Cheok Keng berkata, kenyataan Kor Ming itu jelas bertentangan dengan pendirian Jawatankuasa DAP negeri sebelum ini yang mengatakan bahawa Choo Kiong tidak bersalah, justeru menyokong serta menzahirkan solidariti terhadapnya.

Selain itu, Cheok Keng berkata, keputusan melepaskan jawatan itu turut dibuat sebagai tanda sokongan sepenuhnya kepada Choo Kiong sebagai exco kerajaan negeri kerana mereka percaya ADUN Tronoh itu akan dibebaskan dan menang dalam kes pertuduhannya di mahkamah tidak lama lagi.

Sementara itu, Thye Yih turut membidas Kor Ming apabila mendakwa semua jawatan pada pemilihan jawatankuasa negeri ditentukan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan itu sendiri dan bukannya secara bergilir-gilir menurut perlembagaan parti.

"Oleh itu, kita merasakan jawatankuasa tersebut tidak sah termasuk Pengerusi DAP Perak. Saya rasa ini bukan lagi Democratic Action Party (DAP) tetapi di bawah naungan Kor Ming, ia sudah menjadi 'Dictator Action Party'," katanya. - UTUSAN ONLINE