Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya berkata, tidak mustahil untuk Perdana Menteri itu sekali lagi melakukan kejutan dengan kembali semula berjuang bersama bangsanya dan perubahan itu amat dialu-alukan.

Menurutnya, Dr. Mahathir sebagai seorang negarawan sudah pasti tidak mahu namanya dicatit dalam sejarah sebagai seorang yang memecahbelahkan kaumnya sendiri, dan perpaduan bangsa ini memerlukan kehendak politik tinggi dan perkara itu hanya mampu dilakukan oleh beliau sendiri.

“Dunia tergamam melihat Tun Mahathir berpelukan dengan Lim Kit Siang (Penasihat DAP), apakah beliau tidak boleh sekali lagi mengejutkan dunia dengan kembali ke tempat asalnya untuk berjuang bersama dengan orang Melayu.

“Dr. Mahathir telah mencapai 94 tahun, sudah pasti beliau tidak mahu dicatit dalam sejarah sebagai individu yang memecah-belahkan bangsa, untuk menjayakan perpaduan ummah ini ia memerlukan kehendak politik yang tinggi dan saya lihat hanya Tun Mahathir saja mampu melakukannya,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Aminuddin juga berpandangan jika perpaduan ummah ini berjaya dilaksanakan, kedudukan dan hak agama serta bangsa dapat dijaga selain penyatuan pemimpin-pemimpin menjadi harapan rakyat di negara ini. - UTUSAN ONLINE