“Di kemudahan latihan JR Kyushu semalam, saya mencuba sendiri simulator pemandu Shinkansen (kereta api laju).

“Ia sangat jitu dan mampu mensimulasi mengikut cuaca (hujan, salji) dan siang serta malam,” catat Dr Mahathir menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.

Video yang dihantar bersama catatan itu menunjukkan Dr Mahathir berada di tempat duduk pemandu sambil mendengar taklimat daripada seorang pekerja terlibat.

Perdana Menteri kini berada di Jepun untuk lawatan kerja empat hari ke Fukuoka dan Oita sejak Isnin.

Beliau turut menyampaikan ucap tama di Japan Future Leaders School di Fukuoka pada Selasa. - BERNAMA