Perkara itu dijelaskan oleh jurucakapnya kepada Utusan Online sebentar tadi.

Di Langkawi, Kedah hari ini, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Beliau dalam nada tegas berkata, persatuan itu tidak pernah menyukai orang Melayu kerana bimbang anak-anak mereka bercampur dengan kaum itu.

“Dong Zong ini rasis, kita buat Sekolah Wawasan letak SK, SJKC dan SJKT dalam satu kampus mereka tak mahu, takut anak-anak dia konon bercampur dengan orang Melayu.

“Dia tak suka orang Melayu, semua dia bantah tak pernah bersetuju dengan apa-apa pun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban di Masjid Al Huda Padang Matsirat.

Sejak dua minggu lalu, isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidiakan Cina, Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong). - UTUSAN ONLINE