Dokumentari selama sejam yang memaparkan perjalanan hidup beliau sejak bergelar pelajar sehingga dilantik ke jawatan Perdana Menteri kelima dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di sini, hari ini.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi), Datuk Jefridin Atan, pihaknya berharap dokumentari tersebut dapat menjadi rujukan kepada pelbagai pihak termasuk penyelidik dan pelajar untuk menelusuri legasi tokoh berkenaan.

“Antara legasi atau cetusan beliau adalah mengenai gagasan Islam Hadhari yang mana idea tersebut telah diterima baik di peringkat antarabangsa dengan tertubuhnya Pusat Hadhari untuk Pengajian Tamadun Islam di Universiti Kyoto.

“Pusat ini ditubuhkan de­ngan kerjasama pihak Institut Islam Hadhari di Universiti Ke­bangsaan Malaysia (UKM),” ka­tanya ketika berucap dalam Majlis Pratonton Dokumentari Legasi Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Resensi Buku: Being Abdullah Ahmad Badawi.

Jefridin berkata, Abdullah yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan turut berjaya memperkenalkan pelbagai program seperti Pelan Integriti Nasional dalam melahirkan modal insan yang mempunyai nilai-nilai murni.

Selain itu, katanya, bekas Perdana Menteri itu juga mencetuskan idea pembangunan koridor bagi mengimbangkan pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, idea pembangunan tersebut terus dilaksanakan secara proaktif oleh kerajaan hari ini melalui pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini.