Siri dokumentari ini dilancarkan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Deftech, Datuk Amril Samsudin dengan Pengarah Penyiaran Radio, Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Abu Bakar Ab. Rahim.

Turut hadir, dua penerima anugerah keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Superintendent (B) Datuk Paul Kiong dan Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said.

"Keberanian dan pengorbanan wira negara perlu dihargai oleh semua rakyat Malaysia.

"Kami berharap agar dokumentari ini dapat diterima semua dan mengingatkan kita tentang pengorbanan wira negara," kata Amril dalam sidang akhbar, hari ini.

Dokumentari dengan 13 episod ini, yang akan ditayangkan mulai Ogos ini, mengisahkan semangat keperwiraan 25 wira negara yang terdiri daripada anggota tentera, anggota polis dan anggota Jabatan Penjara yang dianugerahkan dengan pingat SP dan Panglima Gagah Berani (PGB). - UTUSAN ONLINE