Nur Falahin Amiruddin, 26, dikatakan keluar dari rumah kira-kira pukul 6.45 pagi dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna hitam dan memakai baju berwarna hijau

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut sedang diteruskan bagi mengesan mangsa.

Katanya, ibu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Krai kira-kira pukul 3.05 petang sehari selepas mangsa tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi ahli keluarga.

"Mangsa yang bertugas di Hospital Kuala Krai telah keluar awal pagi untuk ke tempat kerja namun rakan sekerjanya memaklumkan bahawa mangsa tidak datang bekerja pada hari tersebut dan gagal dikesan.

"Keluarganya cuba menghubungi telefon bimbit milik mangsa tetapi telah dimatikan dan sehingga kini dia masih tidak dijumpai," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Abdullah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai (09-9605507) atau mana-mana balai polis berhampiran. - UTUSAN ONLINE