Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, bagi menggubal Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, kementeriannya telah mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi.

Jelasnya, hasil daripada maklum balas yang diterima, cabaran utama yang dilihat oleh pihak kementerian adalah untuk memberikan keyakinan kepada golongan tersebut agar dapat menyahut cabaran dengan terlibat dalam bidang keusahawanan.

"Cabaran yang dihadapi oleh kementerian selepas kami dapatkan maklum balas dari akar umbi adalah untuk memberikan keyakinan kepada mereka, golongan ini tidak akan membelanjakan wang mereka jika tidak mempunyai data dan maklumat sama ada mereka akan dapat semula pulangan berdasarkan pelaburan mereka itu.

"Mereka ingin tahu sama ada betul atau tidak peluang dan ruang, ataupun boleh memberikan untung ataupun tidak. Sebab itu hari ini kita bercakap tentang low-hanging fruits (sesuatu perkara perlu diselesaikan tanpa usaha yang banyak) serta sektor-sektor yang boleh diberikan fokus," katanya sesi taklimat DKN 2030 bersama media di sini Selasa lalu.

Tambah Mohd. Redzuan lagi, untuk memberikan lebih keyakinan kepada golongan itu juga, pihak kementerian turut mengambil beberapa langkah termasuk membantu dalam mengawal selia perusahaan mereka selain membuka peluang pasaran termasuk di luar negara.

"Kementerian berperanan menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan, seperti kami menyediakan satu lebuh raya buat mereka dan akan membantu mereka ke mana arah tuju mereka berdasarkan tenaga dan keupayaan mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, jelasnya, DKN 2030 yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini, merupakan dokumen strategi jangka panjang keusahawanan negara yang menggariskan antaranya objektif, sasaran dan srategi pembangunan ekosistem keusahawanan merentasi semua bidang industri dan setiap peringkat usahawan dan masyarakat di negara ini.

"Sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, terangkum dan inklusif, Kementerian Pembangunan Usahawan selaku peneraju agenda keusahawanan negara bertanggungjawab merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030.

"Kementerian juga berperanan menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan negara yang holistik dan kondusif, untuk itu DKN 2030 yang digubal akan menjadi teras dan panduan dalam merangka strategi pembangunan keusahawanan di peringkat nasional dengan penglibatan semua pihak di pelbagai peringkat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Redzuan, menerusi pelaksanaan DKN 2030, bantuan kepada usahawan akan disediakan dalam bentuk pelaksanaan program-program pembangunan keusahawanan yang diselaraskan semula berdasarkan keperluan dan perkembangan semasa di peringkat global.

“Fokus diberikan kepada beberapa bidang tumpuan iaitu pembiayaan kewangan, geran penyelidikan, latihan dan pembangunan kapasiti, infrastruktur dan premis perniagaan, teknologi, akses pasaran serta perusahaan sosial dan pengantarabangsaan.

“Sasaran program-program ini ialah untuk mengoptimumkan prestasi serta mewujudkan peluang untuk usahawan berkembang dan memajukan perniagaan mereka menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti,” katanya. - UTUSAN ONLINE