Almarhum 90, mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada pukul 2.30 petang semalam selepas memerintah Kedah selama 59 tahun.

Jenazah Almarhum disema­yam­kan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit dari pukul 11 hingga 1.30 tengah hari bagi membolehkan rakyat dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Sebelum itu pada pukul 10.30 pagi, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang mengimamkan solat jenazah di Dewan Penghadapan.

Pada pukul 2.30 petang, pedati khas yang membawa jenazah Almarhum keluar meninggalkan Istana Anak Bukit dan tiba di Makam Diraja Langgar pada pukul 4 petang.

Sebaik sahaja istiadat pemakaman selesai kira- kira pukul 4.45 petang , Syeikh Fadzil Awang dan Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim mengetuai bacaan talkin dan Syeikh Alauddin Abu Bakar me­mimpin bacaan tahlil dan doa.

Berangkat sama ke Makam Diraja ialah Sultan Kedah yang baru dimasyhurkan, Tunku Sal­lehuddin Almarhum Sultan Bad­lishah; Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim; Tengku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan barisan Exco kerajaan ne­geri serta pegawai-pegawai kanan negeri turut hadir.

Hadir sama, Menteri di Jaba­tan Perdana Menteri, Datuk Sri Jamil Khir Baharom dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Terdahulu, jenazah Almarhum dibawa menaiki pedati khas sejauh kira-kira 11 kilometer (km) dari Istana Anak Bukit ke lokasi pemakaman.

Jenazah Almarhum dibawa me­lalui sepanjang Lebuhraya Darulaman, sebelum ke Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar, ke Makam Diraja Langgar.

Ditemani empat pawai (kerabat) di sebelah kiri dan kanan, pedati turut dinaiki empat pembawa payung dan tiga pembawa bintang. Turut mengiringi ialah pedati nobat membawa barisan 13 alim ulama diketuai Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim dan Syeikh Fadzil.

Turut berada di atas pedati nobat ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Kedua-dua pedati didahului pembawa cogan alam dan cogan agama, serta 44 pembawa tunggul, serta masing-masing 12 pembawa tombak, lembing dan pe­dang serta lapan pembawa bintang.

Sebelum itu, di pekarangan Istana Anak Bukit, rombongan pedati turut melalui kawalan kehormat diraja membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) yang berpangkalan di Kem Tok Jalai di Jit­ra, dekat sini.

Pada masa sama sebanyak 89 das tembakan istiadat meriam menyamai usia Almarhum dilepaskan 41 Bateri Artileri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh di Selangor, sebagai simbolik mengiringi pemergian baginda untuk istiadat pemakaman.

Terdahulu, jenazah Almarhum baginda disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit dari pukul 11 hingga 1.30 tengah hari bagi membolehkan rakyat dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Turut berangkat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada pukul 12.40 tengah hari di­iringi Yang Dipertuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan disambut oleh Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani.

Berangkat sama, Sultan Se­langor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Norashikin; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Haji Al- Muhtadee Billah Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah l.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba kira-kira pukul 12.20 tengah hari.