Menerusi laman sosial miliknya, Fathia seolah-olah menterjemahkan perkataan tersebut kepada ketiadaan duit, sedangkan maksud sebenar yang ingin disampaikan adalah tidak menggunakan transaksi tunai.

“Kita nak jadi macam zaman batu balik ke? Buat sistem barter. Kau bagi aku tv, aku bagi kau basikal. Takut!” tulisnya memberi pandangan merujuk kepada satu tajuk berita ‘Khairy: Malaysia to be cashless society by 2050’.

Tindakannya itu sekali gus mengundang kecaman netizen, malah ada segelintir individu menyifatkannya ‘bimbo’ yang membawa maksud gadis cantik tanpa pengetahuan.

Bagaimanpun, selang beberapa jam selepas menyedari kesilapannya, Fathia memuat naik satu lagi status bagi mempertahankan tindakannya itu.

“Cashless: broad meaning. Nak tulis tajuk biar teghang (terang). Ni bukan tulis gosip,” jelasnya memetik status berkenaan.

Cuba menegakkan benang yang basah, pelakon Ariana Rose itu sekali lagi menerima padah apabila dicemuh netizen yang menganggap Fathia tidak faham maksud sebenar perkataan tersebut.

Bahkan ada yang beranggapan bahawa wanita itu sekadar membaca tajuk, tetapi tidak langsung membaca isi kandungan berita yang dilaporkan.

Status itu turut mendapat lebih 300 komen negatif netizen dan 600 ulang kicau di Twitter. - UTUSAN ONLINE