Yang Dipertuanya, Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani berkata, laporan itu tidak tepat kerana pihaknya bukan hanya menumpukan kepada mahasiswa, sebalinya merangkumi suri rumah dan keluarga berpendapatan rendah (B40).

Katanya, tiada jumlah tetap berapa ramai penerima yang akan menerima ‘Hopecard’ dan kad tersebut boleh digunakan di 222 cawangan Hope Mart bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

“Kad ini akan diagihkan kepada semua golongan itu (bukan hanya mahasiswa) mengikut syarat-syarat ditetapkan dan mereka boleh membeli barangan di Hope Mart dengan potongan harga antara tujuh hingga 10 peratus.

“Kad ini akan mengumpul mata ganjaran yang boleh ditebus semula dengan barangan lain mengikut mata terkumpul tidak seperti kedai lain yang menghadiahkan peralatan seperti payung dan tuala.

“Namun, bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kita sedang dalam perancangan untuk mengumpul mata ganjaran itu untuk ditolak pinjaman, cuma ia masih diperingkat perbincangan kerana melibatkan banyak pihak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan yang mendakwa sebanyak 800,000 ‘Hopecard’ akan diagihkan kepada golongan mahasiswa selepas kisah ‘ikat perut’ mereka dilaporkan media baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Khairul Khuzaini berkata, kedai Hope Mart akan dibuka di setiap parlimen, masjid, universiti awam dan swasta serta stesen minyak terpilih dengan kerjasama HGV Holding Sdn. Bhd. dan Mega Envision Sdn. Bhd.

“Untuk permulaan, kita akan membuka cawangan pertama di Seksyen 13 Shah Alam yang akan dirasmikan Sabtu ini oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli, manakala bagi tiga bulan pertama,70 buah cawangan Hope Mart akan dibuka.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan kita menyasarkan kesemua cawangan akan siap sepenuhnya dan dapat beroperasi hujung tahun ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE