Inisiatif yang memperlihatkannya lebih mendekati  permasalahan bakal warganya dalam memulakan pengajian itu termasuklah menyediakan bantuan kewangan yang dinamakan  Dermasiswa Al-Ikhlas menerusi kutipan bayaran zakat daripada 197 kakitangannya.

Digerakkan oleh Pejabat Bendahari UMT, institusi berkenaan telah mendapat kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mengagihkan  2/8 daripada potongan zakat kakitangannya bagi tahun 2017.

Pusat Komunikasi Korporat UMT dalam satu kenyataan memberitahu, MAIDAM telah mengembalikan RM109,546 daripada potongan itu kepada UMT untuk diagihkan kepada 365 asnaf pelajar.

“Daripada keseluruhan jumlah peruntukan, agihan bantuan zakat adalah sebanyak RM300 seorang yang dilakukan secara berperingkat sepanjang Minggu Jalinan Mesra dengan keutamaan kepada anak negeri Terengganu.

“Seramai 216 penerima dari negeri ini manakala Kelantan (76),  Kedah (21), Pahang (18), Johor (9), Perak (7), Sabah (4), Melaka (3), Perlis (3) dan selebih dari negeri-negeri lain,”ujar kenyataan itu.

Dermasiswa Al-Ikhlas ini juga sebahagian daripada tindakan di bawah pelan transformasi pengurusan penjanaan zakat dan waqaf serta pelaksanaan instrumen baharu iaitu infaq di UMT yang sedang diusahakan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT (PISM).

UMT buat julung kalinya juga memperkenalkan Caravanserai yang  merupakan kemudahan penginapan  dan rehat  sementara, sarapan dan pemeriksaan kenderaan percuma dalam kampus kepada keluarga pelajar kurang berkemampuan semasa mengiringi pelajar mendaftar diri. 

Bagi sesi kemasukan akademik 2018/2019 kali ini, sebanyak 2,893 tawaran untuk program Sarjana Muda, telah dikeluarkan oleh UMT berbanding 2,782 tawaran pada tahun 2017/2018 dengan peningkatan sebanyak 3.8 peratus.

Menurut kenyataan itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,454 tawaran diperuntukkan untuk pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi manakala sebanyai 439 lagi untuk calon lepasan Dploma dan setaraf.

“Penawaran peluang melanjutkan pengajian kali ini meliputi 27 program, dengan sebanyak 67 peratus pelajar perempuan dan 23 peratus pelajar lelaki.

“UMT juga bakal menerima 14 orang pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) di samping 11 pelajar dari  Indonesia, Maldives, Lebanon, Bangladesh, Yemen dan Kanada yang akan mengikuti  program pengajian Ijazah Sarjana Muda,’ ujar kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE