Pengarah Jabatan Mineral dan Giosains Malaysia (JMG) negeri, Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, sebaliknya bunyi dentuman pada kira-kira pukul 11.15 pagi tersebut yang turut dirasai di kawasan sekitar serta Batu Gajah dan Taiping itu masih misteri sehingga kini.

Ahmad Zukni memberitahu, ini kerana hasil siasatan dan pemeriksaan serta merta yang dibuat pihaknya di kuari-kuari sekitar Simpang Pulai mendapati tiada sebarang kerja peletupan dijalankan dalam kawasan tersebut sebelum pukul 12 tengah hari selaras dengan syarat dengan Surat Kelulusan Skim Kuari bagi kuari-kuari di negeri ini.

“Mengambil berat atas insiden dan kebimbangan penduduk sekitar Ipoh, JMG selaku jabatan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti kuari telah menjalankan siasatan serta merta sebaik mendapat aduan berkenaan.

“Kita telah turun ke tapak kuari-kuari berhampiran untuk menyiasat adakah dentuman kuat itu ada kaitan dengan letupan kuari. Namun kita dapati ia bukan atas sebab aktiviti letupan di kuari kerana mereka hanya boleh beroperasi bermula pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang malah dentuman yang berlaku juga tidaklah sekuat seperti semalam,” katanya. -UTUSAN ONLINE