Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam tempoh yang sangat kritikal menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pihak berkuasa tempatan terpaksa mengambil pendekatan tegas itu bagi memastikan persekitaran bandar raya Kuala Terengganu kekal indah.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat dapat menerima hakikat bahawa kadang kala tindakan seumpama itu perlu dibuat untuk memberi kesedaran.

“Ada ketika kita perlu bertegas, ada masanya kita boleh berlembut dan ini antara pendekatan yang dibuat. Dalam menghadapi hari raya, kita mahu persekitaran Kuala Terengganu bersih bagi membolehkan perantau pulang dalam keadaan ceria sekali gus mendatangkan imej yang baik kepada negeri.

“Kalau mereka pulang dari jauh tiba-tiba tengok keadaan Terengganu yang serabut tentunya sebaik pulang ke negeri dan tempat kerja masing-masing mereka akan merungut serta tidak puas hati dengan Terengganu, tidakkah ini akan memberi kesan negatif kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terakhir jambatan angkat di sini semalam.

Berkuat kuasa kelmarin, hukuman denda sebanyak RM50 dikenakan serta-merta kepada mereka yang dikesan membuang sampah merata-rata dengan tumpuan diberikan di kawasan sekitar Pesisir Payang dan Taman Shahbandar.

Menurut Ahmad Samsuri, denda RM50 itu merupakan antara kepelbagaian pendekatan dalam menangani isu berkaitan kebersihan dan selain penguatkuasaan undang-undang, MBKT turut meneruskan kempen kesedaran selain kewujudan papan tanda larangan membuang sampah.

“Saya rasa tidak ada rakyat di mana-mana negeri yang seronok tengok sampah-sarap dan tentunya mereka akan memastikan sampah diuruskan dengan baik jika di rumah masing-masing apatah lagi kita di peringkat negeri.

“Jadi saya rasa tanggungjawab semua pihaklah dan rakyat kena terima hakikat yang kita terpaksa bertindak dengan lebih keras untuk memberi kesedaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE