Sejurus letupan itu, muncul dua anggota Pasukan Khas Tentera Laut (Paskal) yang terjun dari sebuah helikopter Fennec pada ketinggian 914.4 meter dan mendarat di kawasan berhampiran lokasi tersebut.

Kemunculan dua anggota Paskal itu kemudiannya disusuli kedatangan aset-aset maritim iaitu P38 Interceptor, Silver Breeze dan RFB yang menghampiri serta menembak sebuah kapal auxillary yang ‘ditawan musuh’.

Yang turut digerakkan ialah aset-aset termasuk dua RHIB bersama 14 anggota pasukan tempur, sementara sebuah helikopter Fennec digunakan untuk mempertingkatkan kuasa tembakan terhadap kapal musuh berkenaan.

Pergerakan aset-aset berkenaan bertujuan menyelamatkan seorang ‘VVIP’ (orang kenamaan) yang telah dijadikan tawanan oleh kumpulan pengganas yang menaiki sebuah kapal auxiliary.

Akhirnya, VVIP berkenaan berjaya dikeluarkan daripada kapal berkenaan dan dibawa ke tempat selamat manakala kapal berkenaan diletupkan oleh pasukan tempur terlibat.

Operasi berkenaan merupakan Demonstrasi Khas Maritim sempena LIMA 2015 yang bermula hari ini hingga 21 Mac ini.

Apa yang menarik, demonstrasi tersebut turut menampilkan sinergi kuasa tempur oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).