"Usaha ini jelas menunjukkan kesungguhan dan iltizam pihak berkuasa tempatan di Pahang, selepas tindakan Majlis Daerah Pekan menguatkuasakan penggunaan tulisan Jawi di paparan awam sejak tahun 2005," jelas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

"Langkah ini juga seiring seperti dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah dalam Program Memartabatkan Penggunaan Tulisan Jawi Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, pada 13 November tahun lepas yang mahukan semua pihak memberikan perhatian serius kepada usaha memperkasakan tulisan jawi khususnya di negeri Pahang," tambah beliau.

"Semasa Majlis Titah Diraja, 'Institusi Raja Melestarikan Jati Diri Negara' di DBP pada April tahun lalu juga baginda menyarankan agar kita memelihara jati diri dengan memartabatkan dan memperkasakan semula tulisan Jawi. Baginda menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum supaya menyokong segala usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan tulisan Jawi,” jelas Abang Sallehuddin.

"Untuk itu, kita sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan Khidmat Nasihat Bahasa dan Khidmat Sah Bahasa yang boleh diperoleh secara dalam talian bagi urusan menyemak penggunaan tulisan Jawi yang standard kepada semua pihak. Malahan, DBP mempunyai Munsyi Dewan dan Munsyi Jawi yang boleh membantu masyarakat dalam panduan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang baik dan betul," tambah beliau.

Usaha Majlis Perbandaran Kuantan ini sangat bertepatan dengan hasrat memartabatkan tulisan Jawi yang kian dipinggirkan masyarakat, agar warisan budaya bangsa ini terus terpelihara dan dijaga agar terus diingati dan dihargai oleh generasi muda. - UTUSAN ONLINE