NOR SHAMSIAH
NOR SHAMSIAH

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pelantikan Nor Shamsiah yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 19 Jun lalu.

Jelas beliau, sebelum ini, Nor Shamsiah pernah berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor BNM sepanjang 2010 sehingga 2016 dan bertanggungjawab ke atas pelbagai perkara termasuk penyeliaan perbankan, insurans dan takaful, perisikan kewangan, penguatkuasaan, pengurusan bakat dan perkongsian perkhidmatan.

"Tahniah kepada Datuk Nor Shamsiah, beliau adalah wanita yang berkebolehan dan mendapat keyakinan di peringkat antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar pengumuman Gabenor BNM baharu di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Hadir sama, Nor Shamsiah serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Dalam pada itu, menurut Nor Shamsiah, beliau merakam penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan kerajaan untuk menduduki jawatan berkenaan.

"Saya rasa berbesar hati dan akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaiknya dan bekerja secara sepasukan dengan kakitangan lain di BNM.

"BNM akan meneruskan tumpuan untuk menyampaikan mandat bagi menjaga kestabilan kewangan demi kepentingan negara," katanya. - UTUSAN ONLINE