Pengerusi Persatuan Volenteer I Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, kehidupan seumpama itu tidak sepatutnya wujud lagi di negara ini yang bertaraf negara maju dan membangun.

Menurutnya, laporan Utusan Malaysia mengenai kemiskinan keluarga tersebut menggamit kesedaran banyak pihak khususnya warganet untuk menghulurkan bantuan bagi menceriakan kehidupan anak beranak itu yang sejak sekian lama dibelenggu kemiskinan.

“VIC berkesempatan menziarahi keluarga itu yang menum­pang berteduh di sebuah pondok yang serba kekurangan di sebuah kebun getah sejak setahun lalu.

“Nik Aziz sebagai ketua keluarga menghidap penyakit buasir kronik gagal melakukan kerja berat untuk menyara hidup enam anaknya termasuk dua yang lagi masih bersekolah rendah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hari ini, VIC telah menyampaikan bantuan barangan dapur kepada keluarga berkenaan dan bertanyakan keperluan lain yang diperlukan.

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan tentang dua anak Nik Aziz yang jarang ke sekolah kerana tiada wang untuk mengi­si minyak motosikal mendapat perhatian pentabir Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh (Lelaki).

Muhammad Afiq Aiman berkata, Nik Aziz hanya berpendapatan antara RM400 hingga RM800 sebulan, namun tidak menentu berdasarkan hasil upah menoreh getah.

“Setakat ini keluarga ber­kenaan tidak menerima sebarang bantuan dari mana-mana agensi kecuali menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 setiap tahun,” ujarnya.