Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan secara langsung berkaitan dengan aspek keselamatan pusat pengajian berkenaan.

Menurutnya, peraturan itu bukan bertujuan menyusahkan pengu­saha pondok, sebaliknya bagi memastikan semua aspek pengurusan pondok berada pada tahap terbaik bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

“Pendaftaran ini juga secara tidak langsung akan memudahkan penyaluran bantuan daripada pihak kerajaan kepada pengurusan pondok dalam usaha memartabatkan lagi institusi pendidikan ini.

“Besar harapan saya untuk melihat peruntukan yang disa­lurkan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin termasuk mempertingkatkan lagi aspek keselamatan kebakaran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Madrasah Al-Badhriah Jal Besar di sini hari ini yang terbakar kelmarin.

Ketika kunjungan itu, Asyraf Wajdi turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada pengurusan madrasah ber­kenaan.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Pembangunan Persekutuan Parlimen Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Ashraf dalam pada itu menyeru orang ramai menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pihak pondok.