Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya berkata, tidak sepatutnya wujud peraturan ucapan ahli politik kerajaan disiarkan secara langsung.

“Setiausaha akhbar Menteri Pengangkutan perlu sedar bahawa RTM bukan siaran propaganda kerajaan. Ia duit cukai rakyat, jadi kita mahu laporan yang adil dan seimbang,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.

Swee Kuan mempersoalkan tindakan RTM tidak menyiarkan ucapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban semalam.

Bagaimanapun, bagi meredakan keadaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah meminta RTM menyediakan laporan berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, beliau ambil maklum berhubung perkara itu dan menunggu laporan daripada RTM untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE