Ri Jong-chol

Jong-chol, 41, juga mendakwa, penahanannya merupakan ‘rancangan’ untuk ‘merosakkan maruah negaranya’ selain me­nuduh para penyiasat Malaysia melakukan paksaan untuk mendapat pengakuannya.

“Jika saya menerima semua­nya, saya akan memiliki kehidupan yang baik di Malaysia tetapi saya menyedari ini merupakan perangkap untuk menjatuhkan reputasi negara asal saya,” ujar­nya kepada para pemberita di kawasan kedutaan Korea Utara, di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang laporan penemuan sebuah kereta di lapangan terbang terlibat yang dikatakan didaftar atas namanya, lelaki itu memberitahu yang keretanya berada dalam garaj malah pihak polis Malaysia menerima kenya­taan itu.

Jong-chol turut membuat pe­ngakuan kepada para penyiasat berkenaan bahawa dia merupakan pakar dalam bidang kimia tetapi mendakwa dia bekerja di Malaysia dalam bidang ‘pengimportan ramuan untuk sabun’.

Lelaki itu telah menetap di Malaysia sejak tiga tahun lalu namun menurut Reuters, permit kerjanya telah tamat pada 6 Februari lalu.

Dia yang memberitahu tidak berada di lapangan terbang semasa kejadian berlaku merupakan satu-satunya warga Korea Utara yang ditahan berhubung pembunuhan tersebut.

Kerajaan Malaysia turut menyenaraihitam Jong-chol daripada memasuki negara ini selain meningkatkan pemeriksaan ke­selamatan terhadap warga Korea Utara di semua sempadan negara bagi mengelak mereka meninggalkan negara ini.

Selain itu, pihak polis negara berkenaan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap warga Korea Utara, Kim Uk-il, 37, yang bertugas dengan syarikat penerbangan negara itu, Air Koryo dan dipercayai masih berada di Malaysia.

Dua wanita, warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, dan warga Indonesia, Siti Aishah, 25, telah pun didakwa di mahkamah negara ini atas tuduhan bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas membunuh Jong-nam di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. – Reuters/Agensi