Oleh itu, beliau seolah-olah ‘membalas dendam’ kepada empat ahli akademik yang hujahnya diterima oleh Majlis Raja-Raja dengan menggelarkan mereka sebagai ‘profesor kangkung’.

Menurut peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, ini kerana Saifuddin sendiri dijemput bersama dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dan pakar Perlembagaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi untuk membentangkan pendapat dan hujah mereka kepada Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak sepatutnya Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menggelarkan empat ahli akademik itu dengan istilah yang kebudak-budakan dan bersifat menghina.

“Dia gagal lepas itu nak mengutuk orang pula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, kredibiliti empat orang ahli akademik tersebut bukanlah calang-calang dan mereka jauh lebih berautoriti untuk memberikan pendapat mengenai Statut Rom berbanding timbalan Saifuddin, Datuk Marzuki Yahya yang terlibat dengan kontroversi sijil palsu.

“Istilah yang memperlecehkan orang seperti ini hanya akan digunakan oleh pihak yang tidak berpelajaran tinggi. Bagi seorang yang berpelajaran tinggi dan mempunyai kedudukan yang tinggi, beliau hendaklah menghormati ketertinggian kedudukannya itu. Hujah dibalas dengan hujah, bukan ejekan.

“Mengapa empat orang ahli akademik itu hendak dipersalahkan? Mereka menjadi tetamu khas yang dijemput untuk membuat kajian dan membentangkan hasilnya kepada Majlis Raja-Raja. Dari segi kelayakan akademik dan pengalaman mereka, jauh lebih meyakinkan, mereka bukannya orang yang menipu sijil,” katanya.

Malah, beliau berpandangan, pihak yang mempersoalkan hujah empat orang ahli akademik tersebut turut sama mempertikaikan kredibiliti Majlis Raja-Raja kerana pihak istana telah mendapatkan pandangan kedua-dua belah pihak dan keputusan untuk menolak ratifikasi Statut Rom dibuat berdasarkan penilaian pihak istana.

“Perkara ini perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Raja-Raja sebelum diratifikasi. Apabila mereka mempersoalkan keputusan yang dibuat, mereka memperlekehkan Majlis Raja-raja.

“Ini satu penghinaan kepada Majlis Raja-Raja,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE