Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kumpulan pengganas itu memilih rantau ini ekoran kedudukan mereka di Syria dan Iraq yang kian lemah dan tergugat akibat serangan tentera bersekutu.

Malah katanya, jumlah anggota kumpulan pengganas itu di dua negara berkenaan yang sebelum ini dianggarkan sebanyak 45,000 orang kini berkurangan daripada 35,000 orang.

“Hasil daripada pengumpulan dan pertukaran maklumat daripada rakan-rakan agensi di seluruh negara, mereka (militan Daesh) ketika ini sedang melihat dan mencari tapak baharu.

“Kita sedar bagi Asia Tenggara, selatan Filipina dan Rakhine, Myanmar antara sasaran mereka. Ada orang yang sudah pergi (memasuki dua negara itu) termasuk dari Malaysia dan negara-negara jiran dengan menjadikan Tawau dan Sandakan di Sabah untuk mereka masuk ke kawasan bergolak itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara bagi Kontinjen Perak 2019 di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung kekalahan kumpulan militan Daesh di Iraq dan Syria bukanlah pengakhiran kepada keganasan mereka sebaliknya kekal menjadi ancaman kepada keamanan dan keselamatan global. - UTUSAN ONLINE