Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya telah pun menerima permohonan pihak berkuasa untuk tujuan demikian.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sebagai agensi teknikal sedia memberi bantuan teknikal seperti diminta pihak berkuasa.

“Kami di CyberSecurity mempunyai kepakaran forensik teknologi maklumnat (IT) seperti audio dan video untuk membantu menganalisis bahan itu,” katanya seperti dipetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT) selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Pertahanan Siber 2019 di sini hari ini.

Amirudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran mengenai perkara itu, namun berkata pihaknya sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu bercakap lebih lanjut. Ini hanya permohonan untuk membantu, jadi saya tak mahu ulas dengan lebih lanjut, jadi serah kepada pihak berkuasa (polis),” katanya.

Beliau berkata, tempoh untuk menganalisis aspek teknikal video itu bergantung kepada tahap kerumitan bahan berkenaan.

Minggu lalu, beberapa klip video tersebar di media sosial menyasarkan seorang menteri dan seorang lagi lelaki dengan polis menerima beberapa laporan mengenainya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor dilaporkan berkata sebuah pasukan petugas khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dan dianggotai Jabatan Forensik polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, ditubuhkan untuk menyiasat kes video lucah itu. -UTUSAN ONLINE