Namun, Anih Berhad yang merupakan pengendali syarikat konsesi itu sentiasa mengambil langkah bersiap sedia dengan beberapa perancangan bagi mengatasi kesesakan yang dijangka berlaku terutama pada waktu-waktu puncak.

Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pasukan LPT Ronda menggandakan pusingan rondaan di sepanjang KLK dan LPT1 bagi membantu pengguna yang berdepan masalah atau kemalangan.

“Pemantauan di setiap seksyen lebuh raya juga lebih kerap bagi memastikan sebarang insiden dapat diatasi dengan segera. 

“Syarikat turut menyediakan pekerja dan peralatan mencukupi untuk pembukaan lorong yang maksimum serta lorong tambahan jika perlu,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Menurut Nik Fauzi, pihaknya sentiasa memastikan semua lorong berfungsi dengan baik sebelum masa dijangkakan berlaku kesesakan sempena cuti sekolah.

“Selain itu, segala kemudahan di kawasan rehat dan rawat serta di hentian sebelah beroperasi dengan baik untuk memenuhi peningkatan bilangan pengguna berikutan musim cuti.

“Saya harap pengguna lebih berwaspada dengan berhati-hati semasa memandu, pandu secara berhemah dan ikuti had laju yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengguna juga dinasihat merancang perjalanan dalam usaha mengelak berlaku kesesakan yang lebih teruk.

“Seharusnya kita bersama-sama mengatasi masalah ini dan tidak hanya pihak konsesi memainkan peranan. Pengguna juga perlu lebih peka dengan memilih waktu terbaik untuk memulakan perjalanan

“Paling utama pastikan baki kad Touch and Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya dan jangan memandu di lorong kecemasan,” katanya. - UTUSAN ONLINE