KAMARUDIN ISMAIL
KAMARUDIN ISMAIL 

Kamarudin Ismail, 45, hanya memperoleh kira-kira RM15 sehari hasil upah menoreh di kebun penduduk seluas 1.2 hektar berikutan kejatuhan harga getah sekitar RM1.80 sekilogram (kg).

“Selain kejatuhan harga getah, kedatangan musim tengkujuh dan penyakit daun luruh yang berlaku berulang kali me­rupakan faktor penyebab pendapatan penoreh semakin menyusut sekali gus meletakkan kami dalam keadaan semakin tersepit.

“Kalau dulu nasib kami sedikit terbela dengan adanya skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM200 se­bulan bermula November hingga Januari, namun sekarang bantuan tersebut tiada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut bapa kepada empat anak berusia tiga bulan hingga 10 tahun itu, dia belum membuat sebarang persiapan untuk anak-anaknya membeli kelengkapan bagi menghadapi sesi baharu persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Tambahnya, dia tidak terpe­ranjat jika ada anak penoreh getah yang terpaksa memakai pakaian lama untuk memulakan sesi persekolahan baharu nanti.

Seorang lagi penoreh getah, Norman Harun, 41, pendapatannya RM500 sebulan hasil mengerjakan kebun penduduk selepas kebun miliknya ditanam semula pokok baharu, adalah jauh berbanding paras gaji minimum atau pendapatan seorang pekerja asing.

Katanya, disebabkan penya­kit daun luruh yang berlaku sejak beberapa tahun lalu turut menyebabkan hasil torehan menyusut sehingga 50 peratus berbanding sebelumnya.

Seorang lagi pekebun kecil, Seliah Yusuf, 60, yang menoreh di kebun penduduk kampung seluas satu hektar hanya memperoleh sekitar RM10 hingga RM15 sehari.

“Ramai yang tidak faham bahawa penoreh tidak boleh pergi menoreh pokok sama setiap hari bagi memastikan tidak mati.

“Bagi mereka yang mempu­nyai banyak kebun bilangan hari menoreh mungkin boleh ditingkatkan jika tidak hujan, namun bagi kami yang tidak mempunyai kebun usaha untuk menambah pendapatan agak terbatas,” katanya.