KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pelaksanaan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilihat belum berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.
Berikutan itu, kerajaan berhasrat memperkenalkan cukai baharu bagi menjana pendapatan tambahan kepada negara.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, format cukai tersebut adalah berbeza daripada SST.
Bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci tentang cukai itu dan bila akan dilaksanakan.
“Ini adalah satu cara kerajaan mendapatkan wang, tetapi kita belum membuat sebarang keputusan.
“Ia cukai yang berbeza daripada SST tetapi akan mengurangkan beban rakyat. Dari situ kita akan tahu apakah bentuk
cukai yang akan kita laksanakan kelak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Forum Malaysia di Era Baharu anjuran RHB, Maybank dan CIMB, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.
Sementara itu, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan menjual atau melepaskan beberapa aset negara termasuk tanah bagi mengurangkan beban hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
“Kami sedang mempertimbangkannya (jual aset), itu adalah jalan untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang,” katanya.