Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata pihak penganjur hanya mengemukakan surat kelulusan berkenaan kepada pihaknya pada kira-kira 12.45 tengah malam tadi, kira-kira enam jam sebelum perlumbaan berlangsung.

"Untuk tempoh sesingkat itu agak mustahil untuk polis menyediakan anggota yang cukup untuk mengawal trafik di sepanjang 180 kilometer (km) laluan perlumbaan yang melibatkan empat daerah polis antaranya Klang, Banting dan Sepang kerana penugasan awal telah dibuat.

"Sepatutnya penganjur perlu mengemukakan surat kelulusan berkenaan paling lewat 24 jam sebelum acara diadakan, jika penganjur mematuhi prosedur ini pihak polis tiada masalah untuk memberi kerjasama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 peserta acara lumba basikal yang masuk edisi ketiga itu hampa apabila acara berkenaan dibatalkan pada saat akhir oleh penganjur atas alasan keselamatan dan ditukar kepada acara kayuhan santai atau 'Fun Ride' sejauh 80 km.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Datuk Mahmud Abbas dilaporkan memberi jaminan yuran penyertaan peserta akan dikembalikan. - BERNAMA