Presiden CSR Malaysia, Rizmel Nazrin Abdul Malik berkata, sejak ditubuhkan tahun lalu, sebanyak 350 sukarelawan yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia telah mendaftar dengan badan itu untuk membantu melaksanakan pelbagai program kemasyarakat di seluruh negara.

Menurutnya, fokus utama penubuhan CSR Malaysia bermatlamat untuk mendekati dan memberikan khidmat bakti kepada anggota masyarakat terutamanya golongan memerlukan tanpa mengira latar bangsa dan agama di seluruh Malaysia.

“Sehubungan itu, lebih ramai anak muda dan golongan belia diharap dapat menyertai CSR Malaysia sebagai sukarelawan memandangkan kami sedang bergerak aktif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan di seluruh negara.

“Bermula di Melaka sebagai projek rintis, program khidmat bakti CSR Malaysia diperluaskan ke sembilan buah negeri lagi termasuk Johor, Perak, Terengganu, Kelantan dan Sabah menjelang hujung tahun ini.

“Dalam masa sama, bagi memastikan program ini berjalan lancar dan memberi impak seperti diharapkan, kita menyasarkan kira-kira 1,000 sukarelawan untuk menyertai NGO ini bagi tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sungai Petai di sini petang ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Belia 4B Kawasan Alor Gajah, Mohd. Bukhari Baharuddin dan Pengerusi Surau Nurul Huda Solok Gajah Mati Kampung Sungai Petai, Ariffin Md. Amin. - UTUSAN ONLINE