Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah negara membangun, Malaysia perlu mendapat ‘layanan’ yang lebih istimewa supaya dapat bersaing secara lebih adil dengan negara maju yang turut menyertai perjanjian tersebut.

“Kita adalah sebuah negara membangun tetapi dalam kalangan (negara) CPTPP ini, ada negara yang sudah maju. Persaingan antara negara membangun dengan yang maju tentulah tidak adil.

“Kita akan rundingkan lagi CPTPP ini sehingga kita mendapat syarat yang tidak merugikan kita. Ketika ini, usaha ini sedang dijalankan oleh pakar-pakar kita,” katanya ketika menjawab soalan perwakilan di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

November lalu, Malaysia bersetuju untuk terus mengambil bahagian dalam CPTPP walaupun setelah Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk keluar daripada perjanjian tersebut.

Selain Malaysia, 10 lagi negara yang mengambil bahagian dalam perjanjian itu ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Sebelum ini, dalam temu bual bersama Nikkei Asian Review pada Jun lalu, Dr. Mahathir pernah menyatakan hasrat kerajaan untuk mengkaji semula perjanjian tersebut kerana menurut beliau, Malaysia perlu lebih banyak membeli berbanding menjual dalam suasana perdagangan bebas kesan perjanjian tersebut.

Sehingga kini, menurut Dr. Mahathir, sudah dua perjumpaan dilakukan oleh pakar-pakar yang terlibat dalam pengkajian semula perjanjian itu untuk mengenal pasti aspek yang perlu dirunding semula. - UTUSAN ONLINE