Menurut agensi penarafan antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Moody’s Investors Service (Moody’s), selain minyak sawit, produk dari Malaysia seperti getah dan elektronik turut menikmati kelebihan sama.

Agensi itu bagaimanapun menjelaskan, negara CPTPP tetap me­ngalami kerugian dari segi akses pasaran yang lebih besar ekoran tindakan AS menarik diri daripada perjanjian sebelumnya iaitu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Meskipun CPTPP kehilangan AS, Moody’s tetap meramalkan setiap negara anggota mengalami pe­ningkatan eksport dan pendapatan masing-masing menerusi dasar perdagangan dan pelaburan yang telah dirangka.

“Malaysia menjadi ‘pemenang utama’ menerusi perjanjian baharu itu kerana persetujuan yang dicapai akan membuka akses ke pasaran Kanada, Peru dan Mexico.

“Memberi faedah kepada sektor minyak sawit, getah serta eksport elektronik,” menurut agensi penarafan itu dalam kenyataannya hari ini.

Pada 8 Mac lalu, kesemua 11 negara TPPA menandatangani persetujuan untuk merombak semula perjanjian perdagangan bebas itu tanpa penglibatan AS yang menarik diri.

Perjanjian baharu dijenamakan sebagai CPTPP itu dianggotai Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Moody’s, bagaimanapun tetap meletakkan Malaysia sebagai antara negara selain Vietnam dan Jepun yang mengalami kesan terbesar susulan keputusan AS yang keluar daripada perjanjian itu.

Agensi penarafan itu pada masa sama melihat CPTPP lebih mudah untuk membantu ekonomi domestik melaksanakan pembaharuan dasar memandangkan usaha me­ngurangkan halangan perdaga­ngan berbentuk tarif dan bukan tarif adalah bersyarat mengikut negara ter­tentu.

Jelas agensi dari AS itu lagi, kaedah yang diguna pakai akan menggalakkan pertumbuhan daya saing, pelaburan serta mengukuhkan kualiti institusi dalam jangka masa tertentu.