Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sistem pendidikan di negara berkenaan lebih menekankan kerjasama dan bukannya persaingan dalam kalangan pelajar.

Selain itu menurut beliau, guru di Finland juga mempunyai kuasa autonomi yang kuat dalam menilai pelajar dan tiada ujian piawaian rasmi.

“Satu-satunya peperiksaan kebangsaan yang dikenali sebagai peperiksaan matrikulasi, diadakan pada akhir pendidikan menengah am secara umum digunakan untuk memasuki pendidikan tinggi. Pelajar mereka juga mempunyai kerja rumah yang sangat sedikit kerana rakyat Finland percaya bahawa tugas anak-anak mereka adalah untuk bermain.

“Menurut kajian Organisasi bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), rata-rata pelajar Finland hanya menghabiskan lebih dua jam seminggu membuat kerja rumah. Ia adalah jauh lebih berbeza dengan banyak negara Asia kerana kanak-kanak berusia tiga tahun menghadapi tekanan untuk belajar kerana takut ketinggalan dalam persaingan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan memansuhkan peperiksaan untuk murid berkenaan bagi memastikan guru dapat fokus kepada pembinaan insan.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, guru juga harus memberi pelajar 15 minit istirahat untuk setiap 45 minit pengajaran manakala pelajar tahap pertama dan kedua hanya perlu pergi ke sekolah hanya empat jam setiap hari dan mesti mempunyai 75 minit rehat pada hari persekolahan.

Menurut beliau, guru di Finland dilayan seperti seorang profesor universiti dengan hanya mengajar antara empat dan lima jam setiap hari demi menumpukan masa untuk perancangan pelajaran.

“Saya percaya bahawa pencapaian status negara maju dan berpendapatan tinggi hanya akan bermakna jika Malaysia dapat menanam budaya nilai-nilai murni dan mulia dalam kalangan pelajarnya dan bukan menghasilkan pelajar cemerlang akademik semata-mata.

“Lebih banyak lagi yang perlu dilakukan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama generasi muda hari ini termasuk memperkasakan Pendidikan Moral,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE