Baginda bertitah, antara Thailand yang sentiasa menjaga kebersihan tandas dan kemudahan awam mereka manakala Jepun pula mengamalkan budaya bergotong-royong di sekolah-sekolah.

“Difahamkan pelajar dan guru mereka menjalankan gotong-royong setiap minggu untuk membersihkan kawasan sekolah mereka.

“Didapati dengan cara ini, para pelajar akan lebih menghargai kebersihan apabila mereka merasai sendiri betapa sukarnya untuk membersihkan atau memperbaiki sesuatu yang dicemari atau rosak sebagai pengajaran,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Sekolah Jamiul Islam Talosai, Pak Bara, Wilayah Satun, Thailand, Jumaat lalu.

Sumbangan MAIPs itu diterima oleh Guru Besar sekolah itu, Shafie Dayat.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Zailuddin Ariffin, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perlis, Ahmad Nizam Samsoo dan Pengarah Keselamatan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Zull Aznam Haron.

Terdahulu, pada sebelah paginya baginda berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal ‘Merdeka Ride 2018 edisi 3.0’ sejauh 33 kilometer di sekitar Pak Bara di Daerah Langu, Wilayah Satun, Thailand.

Pada masa yang sama, bersempena kunjungan ke wilayah Andaman itu kali ini, baginda mengesyorkan agar para pelajar sekolah diberi seberapa banyak pendedahan dalam subjek geografi.

Namun, titah baginda pendekatan berbeza harus diambil berbanding dengan dahulu, dengan mengurangkan penghafalan angka seperti jumlah populasi, suhu dan lain lain semata-mata.

“Sebaliknya, penekanan harus diberikan kepada aspek-aspek yang selalu disentuh oleh seorang pemandu pelancong apabila kita melawat sesuatu negara atau tempat baharu.

“Ia hendaklah menyentuh mengenai maklumat penting yang perlu kita tahu dan sampaikan mengenai keunikan ciri-ciri sesebuah negara atau tempat itu yang boleh dimanfaatkan atau dipelihara khususnya dalam aspek hasil bumi dan alam sekitar,” titah baginda.

Terdahulu, sekolah yang dikunjungi baginda tersebut mempunyai seramai 160 orang pelajar berusia di antara enam hingga 12 tahun dan mereka mengikuti kelas agama pada sabtu dan Ahad. - UTUSAN ONLINE