Penyelaras projek yang juga Pe­no­long Kanan Hal Ehwal Murid SMK Simpang Kuala, Rohana Yusof berkata, program julung kali yang diadakan sejak penubuhan sekolah itu pada tahun 1989 menelan kos sebanyak RM8,000 serta hasil kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

“Turut digunakan dalam masakan itu ialah 20kg udang, 2,000 sosej, 70kg lobak merah dan brokoli, cili kering, bawang besar, serai, halia, santan dan 100 biji telur ayam.

Proses penyediaan dan masakan dilakukan seawal pukul 8 pagi secara gotong-royong dan hanya mengambil masa dua jam untuk penyediaan di atas meja sepanjang 156 meter di tapak perhimpunan sekolah,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.

Sementara itu seorang pelajar tingkatan lima, Ahmad Kamal Omar berkata, mereka sangat te­ruja menikmati makanan laut itu, apatah lagi makan bersama rakan dan guru-guru pada sam­butan Hari Guru kali ini.

Seorang lagi pelajar tingkatan lima, Nor Fatihah Nasrul Annuar berkata, dia tidak menyangka guru sekolah sanggup meraikan Hari Guru dengan sambutan luar biasa.

"Kami juga turut membantu guru menyediakan makanan ini dan apa yang berlaku hari ini akan tersimpan di dalam memori kami apabila tamat sekolah nanti," katanya. – BERNAMA