Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, menerusi program tersebut dapat mewujudkan kumpulan pengguna generasi baharu yang bijak, bermaklumat, berkeyakinan dan berani berkaitan isu kepenggunaan.

Menurutnya, program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan SSM itu di­sasarkan kepada golongan muda terutamanya pelajar.

“CIC adalah salah satu usaha KPDNKK untuk memberi maklumat dan kesedaran mengenai isu kepenggunaan kepada golo­ngan mahasiswa termasuk dalam aspek kawalan harga dan tarikh luput sesuatu barangan.

“Daripada maklum balas yang diterima, kebanyakan mereka yang menyertai program ini melihat apa yang disampaikan adalah sesuatu yang baharu di mana golongan ini sebenarnya tidak tahu hak sebenar mereka sebagai pengguna.

“Sebagai contoh tentang tarikh luput barangan, Tribunal Tuntutan Pengguna dan hak mereka terhadap alam sekitar, mereka bukan sahaja tidak tahu bahawa mereka mempunyai hak malah tidak dapat hak mereka sebagai pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program CIC di Politeknik Ungku Omar di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Bahagian Rasionalisasi Subsidi Petroleum Kenderaan, Meor Ismail Meor Akim; Pengarah KPDNKK Negeri Perak, Saifulizan Kamarul Zaman dan Pengarah SSM Perak, Rozaini Muhamed.

Mengulas lanjut Zahrah memberitahu, inisiatif yang dilakukan oleh KPDNKK dan SSM itu perlu diteruskan kerana bukan saha­ja memberi kesedaran kepada golongan pelajar tetapi juga pelbagai lapisan masyarakat.

Jelasnya, pelajar IPT dan sekolah dipilih sebagai sasaran pengguna pada tahun ini kerana kumpulan tersebut mewakili jumlah penduduk yang besar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, SSM menerima 11,823 pendaftaran perniagaan dalam talian mene­rusi Skim 1Pelajar 1Pendaftaran Perniagaan sejak hujung tahun lalu sehingga kini.

“Pendaftaran perniagaan secara percuma ini menggalakkan golongan muda berkecimpung dalam bidang keusahawanan selain sebagai persediaan sebaik sahaja tamat belajar kelak,” ujarnya.