Bagi menghargai jasa dan pengorbanan petugas di sana, terutamanya anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Bangladesh bermula 14 hingga 17 Mei lalu.

Kata beliau, penubuhan HMM di kem itu memainkan peranan besar bagi membantu Bangladesh mengurus krisis pelarian di kawasan itu.

“Anggota kita sedang mengharumkan nama Malaysia melalui usaha kemanusiaan mereka di sini dan usaha mereka ini menjadi satu platform untuk kerajaan Malaysia membantu kerajaan Bangladesh serta masyarakat antarabangsa dalam menguruskan krisis ini agar ia tidak bertambah buruk sehingga menjadi krisis pelarian untuk seluruh rantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lawatan kerja itu turut disertai Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kepada Bangladesh, Amir Farid Abu Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Md. Amin Muslan dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan, Akmal Ariff Zainul Ariff.

Chin Tong dan delegasi turut membuat kunjungan hormat ke atas Penasihat Pertahanan dan Keselamatan kepada Perdana Menteri Bangladesh, Mejar Jeneral Tarique Ahmed Siddique untuk membincangkan potensi kerjasama pertahanan Malaysia-Bangladesh, pengoperasian HMM, masalah pekerja Bangladesh di Malaysia dan ekonomi Bangladesh yang pesat membangun.

Sementara itu, Chin Tong turut berkesempatan meluangkan masa berbuka puasa bersama Komander Ops Starlight-3, Kolonel Dr. Shamsul Bahrain Muhamad dan anggota perubatan HMM lain.

Terdapat 55 anggota perubatan ATM yang sedang menjalankan tugas di bawah Ops Starlight-3 untuk mengoperasikan HMM di Cox’s Bazaar. Penempatan mereka akan digantikan setiap enam bulan. - UTUSAN ONLINE