Tengku Hassan Tengku Omar
TENGKU HASSAN

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Tengku Hassan Tengku Omar berkata, jumlah kerugian terkumpul syarikat yang dikuasai oleh sayap pelaburan kerajaan negeri Terengganu Inc. melalui anak syarikat, TI Global Food Holdings Ltd itu adalah RM2.6 juta hingga 31 Disember 2017.

Katanya, bagi tahun 2018 yang berakhir Disember depan pula kerugian Chicken Cottage Kuala Terengganu dijangka bertambah kepada RM2.5 juta dengan purata hampir RM200,000 sebulan.

"Kita juga sedang memerhati dengan baik apakah ada syarikat yang perlu dihentikan operasinya kerana kerugian yang besar contohnya Chicken Cottage.

"Saya serahkan kepada ahli lembaga untuk menentukan hala tuju seterusnya, adat berniaga memang ada rugi dan untung," katanya ketika menjawab soalan Hilmi Harun (Pas-Manir) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini hari ini.

Chicken Cottage mula menapak di negara ini dan Asia dengan premis perintis beroperasi di Ladang Tok Pelam di sini pada 18 Disember 2014 di samping di Kuala Lumpur yang dibuka pada April lalu.

Sehingga kini difahamkan terdapat hampir 60 rangkaian cawangan restoran Chicken Cottage termasuk di United Kingdom (UK),  Nigeria dan  Itali.

Sementara itu,ramai yang beranggapan selain promosi yang dikatakan tidak begitu diberi perhatian, pemilihan lokasinya juga tidak strategik dan tidak begitu bersesuaian dengan restoran berkonsepkan keluarga. - UTUSAN ONLINE