PUTRAJAYA 1 Sept. – Kehadiran lebih 300,000 rakyat pelbagai kaum untuk menyaksikan Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 yang dianjurkan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan semalam, mencerminkan semangat cintakan negara yang amat tebal di sanubari rakyat negara ini.
Mereka yang datang dari seluruh pelosok negara tidak mahu melepaskan peluang untuk terlibat dalam acara tersebut lebih-lebih lagi apabila sambutan kali ini merupakan sambutan pertama negara di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan selepas gabungan politik itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Seawal pukul 6 pagi, kebanyakan daripada mereka sudah tiba di pekarangan Dataran Putrajaya dengan harapan untuk menzahirkan semangat patriotisme masing-masing sekali gus menunjukkan betapa terujanya mereka untuk menyambut ulang tahun ke-61 kemerdekaan negara.
Lebih manis, acara tersebut dianjurkan di Putrajaya, iaitu tempat yang amat simbolik dengan kepimpinan kerajaan Malaysia. Kali terakhir Putrajaya menjadi tuan rumah bagi sambutan tersebut adalah pada 2005.
Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ pada sambutan kali ini juga dilihat bertepatan dengan semangat kerajaan baharu serta perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.
Pembaharuan utama yang diketengahkan pada sambutan itu adalah empat segmen melibatkan penyertaan kira-kira 12,295 peserta melibatkan elemen kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu merupakan cerminan semangat patriotik dan cintakan negara.
Segmen-segmen tersebut diolah dan direka bersesuaian dengan tema serta semangat Malaysia baharu.
Sebanyak 37 kontinjen terdiri daripada kakitangan syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia terlibat dalam segmen kenegaraan.
Segmen seterusnya adalah ketenteraman awam yang menyaksikan penglibatan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memperagakan aset masing-masing.
Sementara itu, segmen keselamatan negara pula menampilkan kontinjen pelbagai unit pasukan beruniform termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mempamerkan aset daripada inventori masing-masing.
TUDM turut mempersembahkan pertunjukan udara melibatkan pergerakan lintas hormat dan formasi udara menggunakan pesawat-pesawat tempurnya iaitu Sukhoi SU-30MKM, Hornet FA-18D dan Hawk 108/208.
Dalam pada itu, segmen rakyat bersepadu mencerminkan penyatuan bangsa Malaysia menerusi tarian dan nyanyian yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara melibatkan kanak-kanak program Permata Seni Tari, Persatuan Anak-anak Negeri Sabah Kuala Lumpur dan Soka Gakkai Malaysia.