Pengurus Pembangunan Masyarakat, Celcom Axiata Berhad, Mohd Fadzly Kamaruzzaman berkata, program tersebut melibatkan kira-kira 22,200 pelajar di 29 buah pusat di seluruh negara.

Beliau berkata, tajaan yang memasuki tahun kedua itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

“Tahun ini lebih banyak pusat tusiyen berbanding hanya dua pada tahun lalu. Kita akan meneruskan nilai murni ini pada masa hadapan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan agar memperoleh kejayaan dalam akademik.

"Hal ini juga secara langsung menunjukkan keprihatinan dan kepedulian korporat terhadap pembangunan akademik anak setempat, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Tuisyen Mara 2018 Parlimen Kuala Krai di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Seksyen Transformasi Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Isa Chik.

Sementara itu, Isa berkata, Tuisyen Mara 2018 anjuran YPM merupakan kelas secara percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah khususnya di luar bandar sejak tahun 2016.

"Jumlah ke­seluruhan pelajar yang mengikuti program ini sejak 2016 ialah seramai 30,335 orang meliputi 12,989 pelajar bagi tahun 2016 dan 17,346 orang tahun lalu.

“Tahun ini, jumlah penyertaan pelajar meningkat apabila turut dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen melibatkan 111 pusat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 111 pusat untuk tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujarnya. - UTUSAN ONLINE