Ini mungkin situasi lazim golongan belia di Malaysia. Akibatnya, ramai dalam kalangan mereka yang hanya berkahwin pada usia lewat atau lebih teruk lagi, bujang sampai ke tua.

NUR ZULAIKHA ABU BAKAR
NUR ZULAIKHA

Bagi seorang guru, Nur Zulaikha Abu Bakar, 26, cita-citanya untuk berbakti kepada keluarga dan usaha untuk mengukuhkan kerjaya membuatkan dia menangguhkan dahulu hasrat untuk berkahwin.

“Dalam keadaan saya yang baru sahaja bekerja awal tahun lalu, niat saya adalah untuk mengurangkan beban keluarga terlebih dahulu. Bagi saya, ini adalah salah satu cara saya berterima kasih kepada kedua-dua orang tua saya.

“Selain itu, saya juga menyimpan impian tersendiri. Saya berhasrat untuk melancong ke destinasi impian saya selagi saya mampu,” katanya.

New Straits Times hari ini melaporkan, kadar pasangan berkahwin yang semakin berkurang seperti didedahkan Jabatan Statistik Malaysia boleh menyebabkan kerencatan kepada pertumbuhan produktiviti dan pembangunan negara.

Menurut laporan itu, selain mengurangkan populasi, ia juga boleh menjadikan Malaysia sebagai negara tua yang kurang sumber percukaian tetapi lebih perbelanjaan untuk kesihatan.

NOOR NADZIRAH MOHAMAD NORDIN
NOOR NADZIRAH

Bagi seorang pelajar, Noor Nadzirah Mohamad Nordin, 23, keadaan ekonomi juga menjadi faktor seseorang ‘takut’ untuk memulakan rumah tangga.

Keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan dia bimbang akan terjerumus ke dalam krisis kewangan di awal perkahwinan.

“Berita-berita tentang perkahwinan juga kebanyakannya negatif, jadi ia sedikit-sebanyak membuatkan anak muda seperti saya ‘fobia',” katanya. - UTUSAN ONLINE