Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengundi di sini tidak mahu wakil rakyat 'chipsmore' yang hanya kelihatan wajahnya semasa kempen pilihan raya dan hilang selepas memenangi kerusi Parlimen itu.

Seorang peniaga, Khamisah Salleh, 59, berkata, pemimpin yang dipilih itu mestilah seorang yang rapat dengan masyarakat dan tidak kekok bergaul dengan mereka selain tidak dihalang dengan protokol yang membebankan.

Katanya, sebagai penduduk di sini, mereka mahukan wakil rakyat yang sentiasa ada dan tidak hanya menghantar wakil untuk berjumpa dengan penduduk atas sebarang urusan.

"Kita mahukan calon yang rapat dengan masyatakat dan senang berjumpa untuk mencurahkan masalah. Mereka ini kadang-kadang bila sudah menang, sudah tidak ingat dengan pengundi malah hendak jumpa pun susah.

"Jika disediakan pegawai pun, pegawai lagi banyak protokol. Kita mahu jumpa YB (Yang Berhormat) bukannya orang lain," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga, Liew Siew Mun, 31, berkata, dia berharap calon wakil rakyat kawasan tersebut dapat mendengar masalah penduduk tanpa mengira bangsa mahupun parti politik.

Katanya, masalah utama yang dialami mereka di sini adalah berkaitan kesesakan lalu lintas ekoran sistem jalan sehala di Brinchang dan berharap keadaan itu dapat diatasi segera oleh pemimpin yang akan dipilih nanti.

"Jika wakil rakyat itu tidak dapat selalu turun padang pun, mereka perlu sediakan pegawai yang senang untuk berurusan bagi memudahkan penduduk menyalurkan aduan atau masalah," katanya.

Bagi pekedai runcit, R. Anbalagan, 51, dia tidak kisah calon daripada parti mana pun untuk memenangi PRK itu selagi calon yang dipilih dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan membantu menyelesaikan masalah penduduk.

Katanya, calon yang dipilih oleh pengundi itu juga diharap tidak mengikut 'perangai' sesetengah pemimpin yang hanya turun padang semasa tempoh berkempen sahaja.

"Jika ikut trend memang begitulah tetapi saya harap calon yang baharu ini tidak susah untuk berjumpa. Mereka perlu kerap turun padang kerana dengan cara itulah mereka dapat memahami masalah rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE