Buat masa ini, jawatankuasa yang dianggotai oleh lima kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga sedang merangka agenda untuk dijadikan terma rujukan mengenai isu berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yakin isu melibatkan orang tengah yang berleluasa terutamanya dalam sektor perikanan dapat diselesaikan mengikut tempoh sepatutnya.

Jelas beliau, perbincangan melibatkan lima kementerian itu merupakan platform penting bagi memendekkan rantaian pemasaran sekali gus mengurangkan isu berbangkit lain termasuk melibatkan buruh asing.

“Sebelum ini, saya pernah mencadangkan supaya orang tengah ini dilesenkan kerana dalam pemerhatian kita mereka sememangnya tidak mempunyai lesen dan kadang-kadang tak kenal pun siapa mereka.

“Atas sebab itu, kesemua Ketua Setiausaha lima kementerian ini sedang berbincang dan akan merumuskan keputusan penting bagi menangani isu ini. Selepas itu, baru kita akan berbincang di kementerian masing-masing sebelum dibawa ke Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Agromall Puchong, dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE