SIM TZE TZIN
SIM TZE TZIN

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pengeluaran cili di negara asing terutamanya Vietnam meningkat antara Mac hingga Julai sekali gus membuatkan banyak hasil tanaman dari negara tersebut dieksport ke Malaysia.

Jelasnya, keadaan itu telah mempengaruhi harga cili keluaran tempatan.

"Kami mengambil langkah proaktif selepas Utusan Malaysia membangkitkan isu ini secara besar-besaran.

"Kementerian akan menangani masalah ini termasuk dengan memberi cadangan kepada petani tempatan supaya mereka mengetahui bilakah musim yang sesuai untuk mengelakkan hasil tanaman mereka disaingi cili import," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Kuih Bulan Reformasi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Kata Tze Tzin, antara bulan September hingga Januari merupakan masa yang baik untuk petani tempatan meningkatkan hasil tanaman kerana harga cili pada waktu itu meningkat.

Jelasnya, kerajaan tidak boleh menghalang import cili kerana Malaysia terlibat dalam Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) selain perlu memenuhi permintaan tempatan.

Katanya, kerajaan juga akan cuba membantu untuk mengurangkan kos pengeluaran petani tempatan bagi memastikan harga cili mereka sama kompetitif dengan cili import. - UTUSAN ONLINE