Tommy Thomas tak ketuai pasukan pendakwaan kes Najib
TOMMY THOMAS

Tommy yang genap 100 hari menjawat jawatan itu hari ini berkata, beliau hanya menyedari tanggungjawab besar yang dipikul sebaik melangkah masuk ke dalam Pejabat Peguam Negara.

"Dan saya rasa anda tidak akan tahu kecuali apabila berada di sana. Ia sukar bagi sesiapa saja yang berada di luar, begitu juga dengan peguam swasta seperti saya dulu.

"Malah mereka yang berada dalam jabatan ini, ada kira-kira 1,200 peguam di sini pun tidak akan memahami jumlah tanggungjawab (peguam negara). Jadi ia adalah satu kejutan untuk saya," kata Tommy dalam satu temubual eksklusif yang diterbitkan dalam Malaysiakini hari ini.

Tommy berkata, tiga perkara masih kekal menjadi keutamaan beliau dalam menjalankan tugas iaitu semua yang berkaitan 1MDB bukan saja dalam aspek jenayah tetapi juga pemulihan sivil.

Kedua, kontrak berat sebelah dan ketiga, reformasi undang-undang.

Sementara itu Tommy menyifatkan dakwaan bahawa tidak ramai pegawai cekap di Pejabat Peguam Negara mengendalikan pendakwaan sabagai satu kritikan yang tidak adil.  

"Kami ada pengkhususan tetapi tentulah ada kekurangan di beberapa bahagian. Misalnya dalam perkara seperti AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001), yang merupakan sangat kritikal dalam beberapa tahun akan datang, dan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) juga sangat kritikal kerana kita perlu berurusan dengan banyak negara. Kita ada pakar yang hebat.

"Dan untuk penilaian semula kontrak, kita juga ada pegawai hebat dan saya sendiri berurusan dengan mereka. Berkaitan pendakwaan, apa yang akan saya katakan adalah tidak pernah dalam sejarah jabatan ini ada begitu banyak desakan untuk pendakwaan yang disebabkan salah laku masa lalu yang terkumpul bertahun-tahun lamanya, masalah yang diwariskan kepada saya," kata Tommy.

Jelas beliau, ada senarai panjang kes yang menunggu sebaik kertas siasatan sampai kepadanya.

Tommy berkata, jika ada 1,000 pendakwa kelas dunia sekali pun namun ia tetap tidak mencukupi. Ini  menandakan jumlah dakwaan jenayah terkumpul bertahun lamanya. Justeru tekanan di Pejabat Peguam Negara amat besar.-UTUSAN ONLINE