Ketua Pegawai Eksekutif CSSB, Datuk Mahmud Abbas berkata keputusan itu terpaksa diambil berikutan tidak mendapat sokongan daripada pihak polis bagi mengawal trafik sepanjang cara berlangsung.

"Pihak kami dapat tahu mengenai keputusan pihak polis pada kira-kira 5 pagi tadi. Oleh itu CSSB sebagai penganjur membuat keputusan untuk membatalkan acara lumba basikal ini atas alasan keselamatan, " katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mahmud, acara itu yang masuk edisi ketiga sebaliknya ditukar kepada kayuhan santai sejauh 80 kilometer (km) dan penganjur turut memberi jaminan yuran penyertaan semua peserta akan dikembalikan.

Seramai 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa telah mendaftar bagi menyertai acara lumba basikal sejauh 180 km berkenaan yang bermula di ibu pejabat CSSB di Pulau Indah dan mencakupi sebahagian kawasan di Selangor.

Yuran sebanyak RM130 dikenakan bagi peserta acara individu dan RM1,300 bagi acara berkumpulan.

Mahmud berkata, pihaknya dalam usaha mendapatkan penjelasan pihak polis berhubung isu tersebut memandangkan semua syarat keselamatan telah dipenuhi selain mendapat kebenaran Pesuruhjaya Sukan. - BERNAMA