MUSA AWANG

Presiden Persa­tuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, isu tersebut tidak perlu diperbesar memandangkan mekanisme penyelesaian sudah ada khususnya di Mahkamah Syariah.

“Soal pertamanya, bagaimana mahu mengesahkan status perkahwinan di luar negara sah atau tidak kerana sekarang banyak penipuan menggunakan sindiket. Sebab itu pasangan boleh merujuk terus ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan.

“Kedua, saya tidak pasti niat kumpulan ini mahu mencabar Jakim dan JPN di Mahkamah Sivil. Mungkin mereka ada agenda lain, mahu memburuk-burukkan jabatan agama dan juga JPN,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mingguan Malaysia menerusi ruangan Awang Selamat mendedahkan ada pihak sedang membuat persiapan untuk mencabar Jakim dan JPN di Mahkamah Sivil berhubung isu anak tidak sah taraf bagi pernikahan pasa­ngan Islam di luar negara yang kemudiannya tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia.

Asas tindakan itu didakwa kerana anak tidak sah taraf berkenaan menanggung aib dan kesan psikologi sepanjang hayat akibat status ‘bin atau binti Abdullah’ atau ‘tanpa bin’ yang diberikan JPN pada sijil lahir mereka.

Mengulas mengenai isu ‘bin atau binti Abdullah’ pada nama anak pasangan berkenaan, Musa menjelaskan perkara itu berubah mengikut keadaan.

Beliau memberitahu, sebaik pasangan itu mendapat pengesahan status perkahwinan daripada Mahkamah Syariah, ‘bin atau binti Abdullah’ itu boleh ditukarkan kepada nama bapa.

“Tidak timbul isu kerana perkara ini tidak kekal. Apa yang penting ialah merujuk dan mendapatkan pengesahan perkahwinan di Mahkamah Syariah,” jelas beliau.

Musa menambah, langkah JPN meletak status ‘bin atau binti Abdullah’ pada sijil lahir anak kerana tidak dapat memastikan status sebenar pasa­ngan berkenaan.

“Pasangan kata berkahwin di luar negara, tetapi JPN tidak dapat pastikan sama ada perkahwinan itu sah atau diiktiraf jabatan agama di negara berkenaan. Sebab itu langkah tersebut diambil terlebih dahulu,” ujar beliau.