Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun mungkin dianggap pesimis, beliau yakin bahawa kemasukan rakyat negara itu secara besar-besaran akan menyebabkan kaum bumiputera kehilangan tempat di kawasan bandar.

“Hari ini pun kita akui bahawa tidak mungkin kita menang jika meletakkan calon Melayu di kawasan bandar. Kita terpaksa bertanding di kawasan luar bandar.

“Setakat ini dalam bidang politik, kita masih boleh (bersaing), tetapi dalam perniagaan, kerana kekurangan tertentu, kita tidak boleh bersaing dengan mereka. Inilah tugas kongres ini untuk meningkatkan kemampuan kita bersaing,” katanya ketika menjawab soalan perwakilan dalam sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Namun, menurut Dr. Mahathir, ia tidak bermaksud kerajaan menolak pelaburan dari negara China.

Beliau menegaskan, kerajaan hanya bimbang sekiranya rakyat dari negara itu datang untuk membeli tanah dan membangunkan bandar mewah di negara ini.

Jelas beliau, kerajaan tidak menolak malah menggalakkan pelaburan daripada mana-mana negara.

“Untuk mereka masuk sebagai pelabur, itu tidak mengapa. Mana-mana bangsa sahaja boleh masuk melabur dan membuka kilang di negara ini tetapi pekerjanya harus terdiri daripada orang tempatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE