Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr. Salmee Said berkata, pihak sekolah pada masa sama juga memohon maaf ekoran terlepas pandang kes itu dan berjanji akan menyelesaikan dengan segera.

Menurutnya, guru besar sekolah itu akan berjumpa dengan waris untuk menyelesaikan kes ini secepat mungkin, namun mereka akan berbuat demikian selepas siasatan polis selesai sebagai menghormati permintaan waris untuk menyerahkan kes kepada polis.

“Kelmarin, guru besar sekolah terbabit telah memaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu bahawa kes buli ini tidak dilaporkan kepada beliau oleh waris atau guru-guru sekolah.

"Namun, mangsa ada membuat aduan kepada salah seorang gurunya tentang murid lain yang pernah membuli dengan cara meminta duit dan mengejek.

"Guru berkenaan ada mengambil tindakan menasihati dan memberi amaran kepada murid terbabit supaya kejadian itu tidak berulang," katanya di sini, hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang murid perempuan kini menderita tulang belakangnya bengkok dan hanya mampu berkerusi roda dipercayai akibat dibuli rakan sekolahnya sejak tahun lalu.

Murid tahun tiga di sebuah sekolah di Ayer Hitam itu mendakwa, dia sering dibuli dua murid perempuan dan seorang murid lelaki yang pernah menendang, menolaknya sehingga jatuh tangga dan memukul di beberapa bahagian badan.

Mengulas lanjut, Salmee berkata, Jabatan Pendidikan negeri juga telah menerima semua maklumat dan laporan awal kejadian daripada PPD Kubang Pasu dan turut menunggu siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Waris mangsa ketika dihubungi juga berjanji akan membantu pihak sekolah menjalankan siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE